Dakwaan rasuah pegawai tinggi TLDM, Chegu Bard direman dua hari
Chegu Bard direman dua hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya mengenai isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah terhadap Badrul Hisham Shaharin selepas membenarkan permohonan bermula hari ini sehingga esok.
Menurut peguam Rafique Rashid yang mewakili Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu, pihak polis membuat permohonan reman selama empat hari, namun mahkamah membenar perintah tahanan sehingga esok.
Rafique berkata, anak guamnya ditahan reman bagi membantu tiga siasatan di bawah Seksyen 203 (a) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, memberi maklumat palsu menggunakan rangkaian telekomunikasi.
“Pegawai penyiasat memohon reman empat hari, namun selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, pihak Majistret mengklasifikasi Badrul Hisham adalah seorang pemberi maklumat yang harus diberi perlindungan daripada segi undang-undang dan tidak boleh dikenakan tindakan jenayah atau sivil serta membenarkan reman selama dua hari,” katanya kepada pemberita di luar bangunan mahkamah hari ini.
BACA JUGA Masuk ‘last tang konar’, pengakuan Radzi Jidin lawan kemungkaran 1MDB dicemuh