Bapa arwah Zulfarhan rujuk peguam isu saman UPNM, tukang tilik
Susulan saranan pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang agar bapa Allahyarham Zulfarhan Osman mengambil tindakan saman terhadap mereka yang terbabit dalam kejadian menimpa anaknya, beliau memaklumkan akan merujuk peguam terlebih dahulu.
Zulkarnain Idros, 60, berkata perbincangan dengan peguam itu mengenai permohonan kepada mahkamah untuk mengambil tindakan saman lewat terhadap pentadbiran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau juga akan merujuk peguamnya bagi membincangkan tindakan saman terhadap tukang tilik atau mana-mana pihak lain yang mempunyai kaitan dalam kejadian menimpa anaknya itu pada 2017.
“Isu berkenaan saya perlu rujuk semula pada peguam saya,” katanya ringkas dipetik BH.
Dalam pada itu, Zulkarnain memaklumkan setakat ini beliau belum bertemu peguamnya untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.
Sebelum ini, Zulkarnain mendedahkan pernah berhasrat mengambil tindakan saman terhadap pentadbiran UPNM pada 2022, namun terpaksa dilupakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu terpaksa dilupakan kerana beliau terpaksa berdepan kerenah birokrasi pihak tertentu.
“Saya ada buat (tindakan) saman kepada pihak UPNM, tetapi oleh kerana birokrasi pihak tertentu yang melambatkan dokumen menyebabkan tarikh saman berkenaan tamat.
“Tarikh tamat saman berkenaan adalah tiga tahun daripada tarikh kejadian dan tindakan saman berkenaan dilakukan melalui peguam saya ketika itu,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Mahkamah Rayuan mendapati enam bekas penuntut UPNM bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA Sepasang lelaki maut dalam lubang pembetung cetus tanda tanya
Â