Ringgit cecah RM4.63 hari ini, pakar jangka boleh cecah 4.50

Ringgit meneruskan aliran peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, mencecah RM4.63 yang kali terakhir dicatat pada Januari lalu.

Pada 8 pagi, ringgit di paras 4.6330/6400 daripada paras 4.6350/6375 pada akhir urus niaga semalam.

Lapor Bernama, ia didorong oleh peningkatan sentimen susulan potensi AS menurunkan kadar faedah serta prospek pertumbuhan di peringkat domestik.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang tempatan menunjukkan trend positif apabila potensi AS menurunkan kadar faedahnya terus mendapat momentum.

“Aliran ringgit yang positif itu membawa kepada prospek perbezaan kadar faedah lebih rendah antara Kadar Dana Fed (5.50 peratus) dan Kadar Dasar Semalaman (3.00 peratus) yang kini berada pada 2.50 peratus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit akan terus diniagakan mengukuh berikutan nilai semasanya yang sememangnya dinilai lebih rendah.

“Sasaran akhir tahun saya bagi ringgit telah disemak kepada RM4.50 daripada RM4.65 berbanding dolar AS,” katanya seperti dilapor.

Laporan sebelum ini menyatakan ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di pasaran Asia, manakala kebanyakan mata wang lain stabil berbanding dolar AS.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

BACA JUGA Tiang di Jambatan Pulau Pinang pula Pas jadikan isu

Â