AMANAH ucap takziah, kutuk keras pembunuhan Ismail Haniyeh
AMANAH mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membunuh pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh di Iran oleh zionis Israel.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam satu kenyataan berkata, pejuang Palestin itu mati syahid kerana dibunuh ketika memperjuangkan hak agama, tanah air dan rakyat Palestin yang ditindas oleh Israel.
“AMANAH mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Asy Syahid Ismail Haniyeh serta rakyat Palestin ekoran kematian beliau di Iran hari ini.
“AMANAH mengutuk keras tindakan pihak yang membunuh beliau dengan cara yang sangat jahat sehingga pengawal keselamatan beliau turut terkorban,” katanya dalam satu kenyataan.
Mujahid berkata, AMANAH akan terus bersama rakyat Palestin dan Hamas dalam mempertahankan hak mereka untuk hidup bernegara dan berada dalam keadaan aman dan sejahtera dari ancaman musuh khasnya Israel.
Beliau juga menyeru agar masyarakat antarabangsa khasnya rakyat Amerika sedar bahawa tindakan kerajaan Amerika dan sekutunya berterusan membantu dan mempertahankan pemimpin Israel sekarang akan merugikan Amerika dan rakyatnya.
BACA JUGA Video Fahmi Fadzil naik turun tangga tarik perhatian