Itu sebab wajib mohon lesen, rupanya ini platform media sosial paling tak patuh undang-undang

Langkah kerajaan mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet memohon lesen dibuat tepat memandangkan ada platform terbabit yang sebelum ini tidak mematuhi undang-undang Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkongsikan data berkaitan tahap pematuhan pelbagai platform media sosial terhadap undang-undang Malaysia dengan X mencatatkan kadar pematuhan terendah.

Menurutnya, pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati ada platform yang pantas dan patuh, ada yang tidak mematuhi langsung, dan ada yang sangat lambat bertindak balas kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, Instagram sebagai contoh, mencatat kadar pematuhan sebanyak 88 peratus, diikuti Facebook (85 peratus), WhatsApp (79 peratus), TikTok (76 peratus), Telegram (65 peratus) dan X dengan kadar pematuhan terendah pada 25 peratus.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan Nikkei Asia dalam satu temu bual di akhir lawatan kerja di Singapura, semalam.

Fahmi berkata, dalam pertemuannya dengan wakil pelbagai platform semasa lawatan kerja tiga hari di republik itu, mereka mengakui keperluan untuk mematuhi undang-undang Malaysia dan bersedia untuk turut serta dalam proses berkenaan.

“Pertemuan saya dengan platform media sosial sangat produktif. Mereka mengakui bahawa Malaysia adalah pasaran penting bagi platform masing-masing.

“Saya gembira untuk mengatakan bahawa semua platform media sosial ini bersedia untuk turut serta,” katanya.

Di Singapura, beliau bertemu dengan pegawai daripada pelbagai platform media sosial seperti Meta, Google, TikTok dan Tencent.

Pertemuan tersebut membincangkan tentang kerangka kawal selia baharu serta aspek keselamatan dalam talian serta potensi kerjasama untuk memerangi aktiviti haram di platform berkenaan.

Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menerbitkan FAQ (soalan kerap tanya) pada 1 Ogos yang akan memberikan butiran lanjut mengenai kerangka dan mekanisme pelesenan itu.

Ia juga akan mengadakan beberapa siri libat urus awam dari 1 Ogos hingga 1 Januari tahun depan untuk mewujudkan kod tingkah laku yang akan dijadikan rujukan bagi pemegang lesen di bawah kerangka itu.

BACA JUGA Tular budak lelaki 12 tahun memandu: Ibu bapa akan dipanggil JPJ

Â