Manifesto ‘MamaKerja’ berjaya ditunaikan, lebih 4,000 ibu bekerja terima RM1k

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan insentif MamaKerja seperti dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, diluluskan kepada seramai 4,042 ibu yang telah berjaya menerima bantuan tunai.

Beliau berkata, ketika PRN yang lepas, antara janji 100 hari Kerajaan Perpaduan adalah memberi insentif RM1,000 untuk meringankan beban ibu berkerjaya.

”Alhamdulillah, kerajaan negeri telah berjaya melaksanakannya melalui insentif MamaKerja.

”Setakat 11 Julai, insentif MamaKerja telah diluluskan buat seramai 4,042 ibu berjaya menerima bantuan tunai yang disalur secara terus ke akaun bank masing-masing,” tulis beliau di laman Facebooknya, hari ini.

Menurut Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, beliau menyasarkan seramai 5,000 ibu dapat dibantu.

”Ini bermakna, masih ada ruang untuk permohonan baharu. Ibu-ibu hebat Selangor yang berminat boleh cuba mohon di mamakerja.selangkah.my selagi belum ditutup.

”Insya-Allah, kita berhasrat jadikan insentif ini sebagai program tahunan. Moga menyuntik kebahagiaan kepada kaum ibu yang semestinya melimpah kepada keluarga,” katanya lagi.

BACA JUGA Mat Sabu masih terkejut, sifatkan sahabatnya pemimpin gigih berjuang bebaskan Palestin

Â