Tular budak lelaki 12 tahun memandu: Ibu bapa akan dipanggil JPJ
Ibu bapa kepada budak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor seperti yang tular menerusi media sosial akan dipanggil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis panggilan temu siasat terhadap ibu bapa terbabit bagi membantu siasatan.
“Saya dimaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ambil tindakan siasatan tapi di peringkat JPJ, kita juga ada siasatan sendiri.
“Kita telah keluar notis kepada ibu bapa (yang juga) pemilik kenderaan itu tapi kita biar PDRM selesaikan dulu siasatan.
“Selepas itu kita akan ambil tindakan yang berkaitan dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing (Ops PeWA), di Putrajaya semalam.
Sejak kelmarin, orang ramai mempersoal di mana ibu bapa kanak-kanak lelaki yang memandu agak laju kereta jenis Perodua Viva.
Rakaman video berdurasi satu minit 49 saat itu memaparkan seorang wanita menahan kereta itu yang turut dinaiki dua adik kepada budak berkenaan.
Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.
Susulan itu, polis telah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BACA JUGA Benarkah prestasi ringgit terbaik di Asia selepas India?