Terkejut tahu Malaysia ‘top 4’ dunia tawar habuan paling lumayan buat atlet Olimpik
Siapa sangka rupa-rupanya Malaysia tersenarai dalam 10 buah negara yang menawarkan ganjaran tertinggi kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Laporan Forbes mendedahkan Malaysia menduduki tempat ke-4 yang akan memberikan jumlah ganjaran hampir RM1 juta iaitu sekitar RM992,323 (AS$214,000) dalam misi menamatkan penantian pingat emas pertama Malaysia.
Bagaimanapun Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan pemenang perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).
Bukan itu sahaja, mana-mana atlet yang berjaya menempah tempat pada kedudukan podium di Olimpik Paris ini juga akan diberikan pencen seumur hidup bernilai RM1,854 (AS$400) sehingga RM5,100 (AS$1,100) untuk sebulan.
Memimpin carta teratas pemberian durian runtuh paling besar ialah Hong Kong iaitu sebanyak AS$768,000 (RM3.5 juta), diikuti Israel, AS$275,000 (RM1.26 juta) dan ketiga Serbia AS$218,000 (RM1 juta).
Malaysia di tempat keempat. Berada di tangga kelima di bawah Malaysia ialah Itali AS$196,000 (RM903,356) disusuli Lithuania AS$182,000 (RM838,885) dan ketujuh Moldova AS$171,000 (RM788,162).
Selain ganjaran wang tunai, atlet yang bakal mencipta sejarah negara turut ditawarkan sebuah kereta berjenama luar negara dan pangsapuri mewah bernilai RM1 juta di Setia Alam.
Setakat ini, Malaysia telah memenangi 13 pingat Olimpik sejak Tokyo 1964 terdiri daripada lapan perak dan lima gangsa namun belum pernah meraih sebarang emas.
Pada Olimpik Paris 2024 ini, seramai 26 atlet negara daripada sembilan jenis sukan tampil mewakili negara dalam acara gilang-gemilang yang telah membuka tirainya secara rasmi pada 27 Julai.
BACA JUGA Meta usah jadi bacul, perkakas Zionis!, kata PM Anwar