Apa khabar ADUN Mahkota Sharifah Azizah? Ahmad Zahid kongsi keadaan terkini
Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini, dilaporkan berada dalam keadaan agak kritikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berkenaan sudah berhenti diberikan ubat tidur sejak pagi tadi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Keadaan beliau agak kritikal. Kita berdoa semoga Allah SWT mudahkan urusan beliau dengan sebaiknya dan diberikan kesembuhan.
“Jika sebaliknya berlaku, kita sama-sama berdoa agar segala urusan dipermudahkan.
“Menurut doktor pakar, (pemberian) ubat tidur (kepada Sharifah Azizah) telah dihentikan sejak pagi tadi.
“Kita doakan yang terbaik,” katanya pada sidang media di hospital berkenaan, hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO itu tiba di pekarangan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom kira-kira jam 10.30 pagi tadi untuk menziarahi Sharifah Azizah.
Ahmad Zahid turut diiringi Pengarah hospital itu, Dr Mohamad Nizam Subahir; bekas Menteri Perpaduan, Halimah Mohamed Sadique; dan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Jais Sarday.
Kelmarin, Sharifah Azizah, 63, dilapor menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang itu yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
BACA JUGA Bahana Olimpik Paris iktiraf ‘wanita jadian’ terbukti, petinju Itali ini bimbang nyawa diancam
Â