Jenazah Ismail Haniyeh dikebumikan di Qatar hari ini

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang syahid dibunuh rejim haram Zionis dalam serangan di Tehran, Iran pada awal pagi 31 Julai lalu akan dikebumikan di Doha, Qatar hari ini.

Jenazah pemimpin yang terkenal dengan sikap tenang itu diterbangkan dari Tehran ke Doha selepas Iran selesai mengadakan upacara penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah pemimpin ulung berkenaan bersama pengawal keselamatannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi upacara pengebumian.

Iran yang berkabung selama tiga hari sehingga hari ini berikutan kematian Ismail, 62, mengadakan acara penghormatan terakhir buat pemimpin tertinggi Hamas itu semalam.

Ribuan hadir di majlis berkenaan yang turut disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen di Iran dan Jordan.

Hamas sebelum ini mengesahkan Ismail dan pengawal keselamatannya terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu di kediamannya di Tehran pada 31 Julai lalu.

Ismail berada di Iran bagi menghadiri acara angkat sumpah Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian, di Tehran, sehari sebelum itu.

Allahyarham pernah beberapa kali dipenjarakan rejim haram Zionis sebelum diusir ke selatan Lebanon selama enam bulan.

Ketika usia mudanya, beliau yang merupakan ahli cawangan pelajar pergerakan Ikhwanul Muslimin di Universiti Islam Gaza menyertai Hamas pada 1987.

BACA JUGA Permohonan MyBrain 2.0 dibuka untuk pengajian sarjana, PhD

Â