MP Lenggong ketuai delegasi ke pengebumian Ismail Haniyeh
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengetuai delegasi Malaysia ke Doha, Qatar bagi menghadiri pengebumian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, hari ini.
Wisma Putra memaklumkan, Ahli Parlimen Lenggong berkenaan diiringi Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri.
“Timbalan Menteri Dalam Negeri dan delegasi akan menyertai solat jenazah di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab di Doha selepas solat Jumaat.
“Jenazah Almarhum Ismail Haniyeh akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam di bandar Lusail,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan Malaysia akan terus bersolidariti dengan ahli keluarga, kepemimpinan dan rakyat Palestin.
“Penderitaan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi adalah epitome kehidupan Haniyeh.
“Haniyeh memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan serta keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” menurut kenyataan itu lagi.
Awal pagi kelmarin, Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran, Iran dalam serangan rejim pengganas Zionis.
Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu serta seorang pengawal peribadinya.
BACA JUGA Permohonan MyBrain 2.0 dibuka untuk pengajian sarjana, PhD