Kecoh Mohd Azizi dakwa kerajaan Kelantan tak pernah bagi peruntukan ADUN

Kerajaan negeri Kelantan seolah ‘menganak tirikan’ wakil rakyat Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim apabila didakwa langsung tidak memberikan sebarang peruntukan kepadanya sepanjang hampir 2 tahun beliau menjadi ADUN Nenggiri.

Mohd Azizi berkata, satu sen pun beliau tidak pernah terima dari kerajaan negeri walhal setiap ADUN dijanjikan peruntukan sehingga RM1.2 juta setahun.

Bukan itu sahaja, setiap kali turun padang bertemu rakyat beliau terpaksa menggunakan duit peribadinya sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga mendesak Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan bukti peruntukan Kerajaan Kelantan yang diterimanya, sehingga menggelarnya tamak.

“Semasa berceramah mereka (pemimpin Pas) menggelar saya tamak, tidak bersyukur dan membuat pelbagai serangan peribadi.

“Mereka boleh kata macam-macam sedangkan saya dinafikan hak sebagai ADUN, satu sen pun saya tidak menerima peruntukan daripada mana-mana Exco sedangkan setahu saya setiap ADUN menerima peruntukan sehingga RM1.2 juta setahun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Pada masa sama Mohd Azizi berkata, beliau telah memanjangkan isu tidak menerima peruntukan sebagai ADUN kepada pimpinan tertinggi negeri termasuk Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.

“Namun jawapan yang saya dapat ‘bersabarlah… kita perlu sedar diri kita hanya enam kerusi’. Itulah ulasan yang saya terima setiap kali perkara ini dibangkitkan.

“Apabila saya hilang kerusi dan berlaku PRK (Pilihan Raya Kecil), mereka menuduh saya tamak sedangkan tidak semua ADUN Kelantan menerima peruntukan. Bercakap memang mudah dan kalau betul saya terima peruntukan, tolong buktikan,” katanya lagi seperti dilapor.

BACA JUGA Kerajaan ini sahaja berani buat himpunan kutuk Israel secara terbuka – Dr Maza

Â