Mujahid sokong saranan Malaysia perlu ikhtiar tatacara dunia baharu lawan Israel
AMANAH percaya pandangan Datuk Seri Mohamad Sabu – supaya Malaysia memimpin tatacara dunia baharu bagi melawan Israel – adalah satu pandangan jauh untuk meletakkan Malaysia di persada antarabangsa khususnya dalam kalangan negara-negara Islam.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berharap agar gesaan Mohamad diambil serius oleh rakyat Malaysia dengan terus memberi sokongan kepada kemampuan Perdana Menteri untuk memainkan peranan itu.
“Parti AMANAH akan meneruskan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang progresif, inklusif dan peduli serta mengajak seluruh rakyat bersatu menjadikan Malaysia berperanan lebih efektif dalam isu Palestin.
“Malaysia boleh bergabung dengan negara-negara lain di dunia dalam isu Palestin sebagai platform memperjuangkan hak asasi manusia khususnya di Gaza dan Rafah demi menghentikan kebinatangan regim zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak berkata, tuntutan dibuat Presiden AMANAH adalah bersesuaian dengan nilai tertinggi yang diperjuangkan oleh AMANAH iaitu Rahmatan Lil Alamin atau RAHMAH.
“Parti AMANAH mengharapkan gesaan Presiden AMANAH ini perlu diambil serius oleh seluruh rakyat Malaysia dan yakin kemampuan PMX untuk memainkan peranan ini.
“Seluruh rakyat harus berdiri memberikan sokongan tidak berbelah bagi untuk tujuan Malaysia berusaha membentuk tatacara baru dunia yang lebih sejahtera dilimpahi Ihsan dan Rahmah,” ujarnya lagi.
Semalam Mohamad menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan pengaruh globalnya dengan menganjurkan tatacara baharu dunia bagi menentang Israel.
Bercakap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena malam tadi, beliau berkata dunia tidak mungkin mengharapkan kuasa besar Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk menangani kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel.
“Rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel, tapi ajak mereka putus hubungan dengan Israel,” kata Mohamad semalam.
BACA JUGA Pemulihan melebihi jangkaan, Ringgit cecah RM4.40 berbanding USD hari ini