Perbuatan Meta jelik, menghina – Pejabat PMO

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta Platforms Inc (Meta) hari ini bagi menuntut penjelasan berhubung tindakan penurunan beberapa hantaran mengenai Palestin dan Ismail Haniyeh.

Hantaran yang bertarikh 14 Mei dan 30 Julai itu diturunkan dari Facebook dan Instagram Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pertemuan itu, pejabat PMO telah menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menyekat ucapan takziah Perdana Menteri penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini

Pejabat Perdana Menteri melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan. 

Perjumpaan bersama META di Pejabat Perdana Menteri, 5 Ogos, 2024. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

“Kami turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah.

“Keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Perdana Menteri juga kesal dengan insiden sekatan siaran langsung Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin malam semalam.

Justeru, Pejabat Perdana Menteri telah menuntut beberapa perkara, termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak Meta, serta permohonan maaf secara terbuka daripada Meta.

“Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” ujar kenyataan itu lagi.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Â