PM sebak, pesanan terakhir Ismail Haniyeh mahu Anwar teruskan perjuangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menahan sebak ketika mendengar pesanan terakhir Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang disampaikan sendiri oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul malam tadi.
Johari Abdul mewakili Malaysia ke Majlis Mengangkat Sumpah Presiden Iran yang baharu baru-baru ini, dan sempat bertemu dengan Ismail Haniyeh.
“Bila pulang sila beritahu Anwar Ibrahim teruskan perjuangan yang mulia ini”.
Demikian pesanan yang disampaikan Johari Abdul ketika berucap di pentas Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena.
Kata Johari, ketika beliau dan Ismail Haniyeh bersalaman, perkara pertama yang keluar daripada mulutnya adalah “how is Anwar Ibrahim”.
“Saya bersalam dengan beliau dan dia bertanya apa khabar Anwar Ibrahim. Saya sampaikan salam Perdana Menteri kepadanya.
“Saya menyampaikan ucapan takziah atas pemergiaan ahli keluarganya (dibunuh zionis Israel).
“Dia pegang saya, dia kata wahai saudaraku, beritahu mereka semua bahawa manusia di muka bumi ini akan mati. Keluarga saya telah pergi, yang membunuhnya juga akan pergi… persoalannya bagaimana kita berhadapan dengan tuhan nanti,” jelas Johari ketika menceritakan perbualannya bersama Allahyarham.
Dalam perbualan itu tambahnya lagi, bekas Perdana Menteri Palestin itu sempat memberi pesanan terakhir sebelum dibunuh pada malam yang sama.
“Saya cuba panjangkan perbicaraan (tentang) keluarganya, dia kata kepada saya, bila pulang nanti beritahu Anwar Ibrahim teruskan perjuangan mulia beliau,” kata Johari dalam suara yang sebak.
Perhimpunan itu turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin negara dan masyarakat, antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Sabu, Steven Sim dan Fahmi Fadzil.
BACA JUGA Ramai ‘sakit jantung’ tonton badminton semalam, Aaron Chia-Wooi Yik banggakan Malaysia