Ini sebab kenapa Ketua Penerangan Puteri UMNO kata Azmawi bukan ‘katak’
Tarikh 17 Ogos nanti akan menjadi penentu kepada dua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.
Kali ini Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani iaitu Ketua Pemuda UMNO Kelantan, manakala Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan Mohd Rizwadi Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menerusi satu video di TikTok, Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi menyenaraikan tiga sebab mengapa Mohd Azmawi harus diangkat sebagai calon wakil rakyat di sana.
Katanya, yang pertama adalah kerana Azmawi atau dikenali sebagai Awie, bukan ‘katak’ dan merupakan calon yang sangat berdedikasi.
”Kedua, Awie setia kepada partinya iaitu BN dan yang ketiga Awie juga sudah lama membuat ‘kerja’ (berkhidmat) di DUN Nenggiri,” katanya dalam video di laman sosial itu.
Menurut Shamellya lagi, Awie juga mempunyai kredibiliti dan pengalaman menjaga DUN Nenggiri.
”Ia telah terbukti bagaimana beliau menjaga pasukan pemuda di Kelantan.
”Sekarang kami serahkan Azmawi kepada warga Nenggiri untuk dijaga dengan baik dan dipilih dengan baik sebagai wakil rakyat Nenggiri,” ujar beliau lagi.
Lazimnya, istilah ‘katak’ dalam dunia politik adalah merujuk kepada ahli politik yang melompat daripada parti asalnya dan menyertai parti lawan.
BACA JUGA http://Rupanya Awie dah ‘berkhidmat’ lebih 10 tahun di Nenggiri