Rupanya Awie dah ‘berkhidmat’ lebih 10 tahun di Nenggiri

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) PRK Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani telah ‘berkhidmat’ lebih 10 tahun di kawasan itu sebelum ini.

Beliau berkata, tempoh lebih 10 tahun itu adalah ketika Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan bekerja dengan bekas ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff.

”Ab Aziz mengakui bahawa Awie (nama samaran Mohd Azmawi) telah bertugas dengannya dan telah pusing semua kawasan Nenggiri sewaktu dia menyandang jawatan ADUN.

”Tidak ramai yang mengetahui perkara ini, namun Awie bukanlah baru sehari dua berada di Nenggiri, katanya memetik FMT.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, partinya yakin kerusi DUN Nenggiri bakal menjadi milik Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Maslan

Keyakinan itu dizahirkannya disebabkan Mohd Azmawi telah menceburi pentas politik lebih awal.

Pada 3 Ogos lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa yakin dengan kemampuan Mohd Azmawi untuk menggalas amanah parti dalam saingan kali ini.

Ahmad Zahid menyifatkan Awie seorang anak muda yang berwibawa untuk merampas kembali kerusi Nenggiri pada 17 Ogos nanti.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang oleh Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, namun keahliannya telah digugurkan pada 13 Jun lalu.

PRK kali ini akan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail.

BACA JUGA Keganasan di UK: Banyak negara keluar amaran keselamatan

Â