Suramnya Pasar Kedai Payang 1, jualan peniaga merosot sejak berpindah
Jualan di Pasar Kedai Payang 1 di Kuala Terengganu agak merosot sejak para peniaga mula berpindah ke kawasan baharu itu.
Suasana pasar yang mula beroperasi sejak minggu lalu juga agak suram berikutan kekurangan pengunjung.
Berdasarkan tinjauan dilakukan Harian Metro pada 5 Ogos baru-baru ini, hanya terdapat 29 kedai menjual barangan kraftangan dan cenderamata, enam kedai emas, lima kedai kasut serta lapan premis menjual barangan dapur sahaja yang dibuka.
Beberapa peniaga mengakui keadaan perniagaan yang suram disebabkan perpindahan peniaga dilakukan secara berperingkat.
Peniaga, Mohd Ropi Endot, 53, mengakui jualan barangan cenderamata dan kraf merosot sejak berpindah ke sini.
Pun begitu katanya, kesuraman perniagaan di Pasar Kedai Payang 1 itu dijangka pulih sepenuhnya apabila semua perniagaan termasuk kain batik yang ditempatkan di tingkat dua berpindah pada pertengahan bulan depan.
“Ramai yang mengunjungi Pasar Kedai Payang 1 ini pada pada Sabtu dan Ahad yang lalu,” katanya.
Seorang peniaga yang mengusahakan jualan cenderamata, Sharifah Ahmad, 49, berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sepatutnya memindahkan semua perniagaan secara serentak ke Pasar Kedai Payang 1.
Menurutnya, hanya kedai menjual cenderamata dan kraftangan, emas, barangan dapur serta kasut diarahkan berpindah pada fasa pertama, Khamis lalu.
“Perpindahan secara berperingkat punca hasil jualan semua peniaga merosot.
“Kita jangka perniagaan dan hasil jualan peniaga di sini akan meningkat apabila semua premis perniagaan beroperasi pada pertengahan bulan depan,” katanya seperti dilapor.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Rosli Latif dilaporkan berkata, gerai jualan keropok, barangan basah termasuk sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam serta restoran akan dikekalkan di Pasar Kedai Payang 2.
“Setakat ini, perpindahan peniaga dilakukan secara berperingkat disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian kedai terutama membabitkan kedai emas,” katanya.
BACA JUGA Pakat-pakat makan rasuah kemudian pergi haji – Timbalan KPN tegur siapa?
Â