Dari B40 terus ke M40, peserta IPR Intan mampu raih RM5,000 sebulan hasil tanam cili

”Memang susah nak percaya ada ladang cili sebesar 20 ekar di Putrajaya ini!”

Itu kata-kata yang keluar daripada mulut seorang pemuda yang membuat rakaman video di ladang tersebut.

Dalam videonya di Facebook itu, beliau memaklumkan ladang cili yang mula beroperasi sejak Ogos tahun lalu itu adalah yang terbesar di Putrajaya.

Katanya, ladang cili itu diusahakan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Projek perintis Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerusi komponen Inisiatif Usahawan Tani (Intan).

”Kalau korang nak tahu tanah ini sepatutnya dijadikan depot Monorel Putrajaya, tapi tanah ini sudah dibiarkan selama 15 tahun.

”Jadi kerajaan tukarkan tanah ini menjadi ladang cili.. kalau korang tengok, ianya berada dekat sebelah landasan ERL sahaja,” kata pemuda berkenaan dalam video itu.

Untuk rekod, peserta IPR Intan adalah dari kategori B40 yang mempunyai pendapatan tidak lebih dari RM2,000 sebulan.

Namun menurut kementerian ekonomi, sejak peserta menyertai inisiatif diusahakan Rafizi Ramli itu, mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Sementara itu menurut pemuda tersebut, pada musim pertama, usaha cili sudah mendapat dalam 40 tan hasil tanaman.

Beliau menjelaskan, 40 tan itu sama dengan RM480,000 untuk satu musim.

”Dulu ladang cili ini 10 ekar sahaja, sekarang dah naik sampai 20 ekar.

”Sebab musim pertama dapat 40 tan hasil cili, jadi kerajaan tambah jadi 20 ekar sekarang ini.

”Untuk musim kedua pula dianggarkan mereka akan kutip 100 tan cili iaitu bersamaan RM1.2 juta,” ujarnya lagi.

Pemuda itu menambah, cili-cili yang dihasilkan adalah usaha daripada peserta IPR Intan yang tiada langsung pengalaman dalam dunia pertanian.

Katanya, kebanyakan mereka datang daripada golongan B40, miskin dan tiada kerja tetap.

BACA JUGA Ucapan Mat Sabu ketika Himpunan Solidariti Palestin jadi perhatian netizen, rupanya ini sebabnya