Melampau label DAP ‘kafir harbi’, Pas didesak mohon maaf
DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau Pas dan keceluparannya dalam satu ceramah kempen PRK Nenggiri baru-baru ini yang melabel DAP sebagai “kafir harbi di Malaysia”.
Menerusi video tular, DAP percaya individu yang mempengerusikan majlis tersebut telah mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap mereka.
Dalam satu kenyataan media bersama, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menuntut permohonan maaf kepada semua ahli-ahli parti DAP beragama Islam yang telah dituduh kafir oleh Pas.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan ini. DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum. Ini termasuk anggota parti yang beragama Islam.
“Kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah Pas di Nenggiri itu adalah perbuatan takfiri terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima.
“Kami dengan ini menuntut supaya individu dalam rakaman video tersebut meminta maaf terhadap semua ahli parti DAP yang beragama Islam yang telah dihukum sebagai kafir oleh beliau,” kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Ahli Parlimen Bentong Young Shefura Othman; dan Sheikh Umar Bagharib Ali.
Istilah ‘kafir harbi’ merupakan istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir (darul harb) ke atas negara umat Islam (darul Islam).
Golongan kafir ini diklasifikasikan sebagai ‘kafir harbi’ dan halal darahnya untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.
Justeru ketiga-tiga ahli DAP beragama Islam itu menuntut supaya kepimpinan Pas dan Perikatan Nasional menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan kenyataan melampau individu tersebut.
“Sekiranya tidak, Pas dan Perikatan Nasional turut digesa untuk mengecam kenyataan tersebut.
“Kami juga menggesa supaya pihak Perikatan Nasional berkempen dengan matang dan sejahtera, dan bukannya memainkan politik kebencian seperti ini,” tegas mereka lagi
BACA JUGA Ini rupanya cara kerajaan bantu swasta bagi kenaikan gaji
Â