Penangan PRK Nenggiri, peniaga seronok durian laris macam pisang goreng panas.
Peniaga durian di Nenggiri, Kelantan tak menang tangan menerima kunjungan pelanggan berikutan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang sedang berjalan ketika ini.
PRK yang diadakan ketika musim durian ini ibarat memberi limpahan rezeki kepada pekebun kecil kawasan itu kerana durian yang dijual laris bagai pisang goreng panas.
Jika dahulu hanya mampu menjual sekitar 40 kilogram sahaja, kini pekebun, Kamil Abdul Majid mampu menaikkan jualan sehingga 80 kilogram sehari.
“Ramai orang-orang parti yang sibuk berkempen datang makan terus durian di gerai saya.
“Ada orang UMNO/Barisan Nasional (BN), Pas dan Perikatan Nasional (PN),” katanya memetik laporan Sinar Harian kelmarin.
Bapa kepada lima anak berkenaan memaklumkan, durian yang dijual adalah durian dari kebunnya yang terletak di kampung bersebelahan iaitu Kampung Pulau Setelu selain dibeli dengan pekebun kecil berdekatan.
Menurutnya, antara jenis durian paling laku ialah durian musang king kacuk yang cuma dijual pada harga RM15 untuk satu kg.
“Apa yang istimewa, durian ini dari baka musang king yang dikacuk dengan durian kampung. Isinya kuning seperti musang king biasa dan rasa berlemak.
“Harga bagi durian kampung biasa pula cuma RM6 satu kg bagi buah bersaiz kecil dan RM8 per kg bagi yang besar,” ujarnya.
Tempoh kempen PRK Nenggiri akan berakhir pada jam 11.59 malam pada 16 Ogos ini sebelum hari pengundian yang akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN dan PN.
BACA JUGA Kita yang tak kuat iman ambil rasuah, salahkan pula kaum lain, pedas ucapan Ayob Khan
Â