Pingat emas Olimpik tahun ini paling mahal, ini nilai sebenar jika ditukar kepada RM

Forbes Australia mendedahkan bahawa pingat emas pada Olimpik Paris 2024 kali ini berkemungkinan merupakan pingat termahal dalam sejarah temasya itu.

Pingat emas pada temasya kali ini dilaporkan bernilai AS$950 (RM4,250).

Menurut artikel itu, selain kerana harga emas yang mahal, pingat itu sebenarnya mempunyai emas tulen di dalamnya sekitar enam gram.

Forbes Australia menjelaskan pingat emas Olimpik seberat 529 gram, dengan lebih daripada 95.4 peratus pingat sebenarnya diperbuat daripada perak (505 gram).

Enam gram terdiri daripada emas tulen, yang berfungsi sebagai penyaduran pingat, dan 18 gram terdiri daripada besi.

Besi tersebut juga bukan sekadar besi biasa kerana ia berasal dari Menara Eiffel.

Pingat emas kali ini berkemungkinan akan memecahkan rekod harga pingat emas yang bernilai AS$708 untuk Sukan Olimpik London 2012.

Sementara itu, pingat perak seberat 525 gram, dengan 507 gram diperbuat daripada perak dan 18 gram besi.

Nilainya, berdasarkan harga untuk perak dan besi pada 24 Julai adalah lebih kurang AS$486 (RM2,174).

Pingat gangsa seberat 455 gram dan terdiri daripada 415.15 gram tembaga, 21.85 gram zink, dan 18 gram besi. Nilainya pula adalah lebih kurang AS$13 (RM58).

BACA JUGA Ucapan Mat Sabu ketika Himpunan Solidariti Palestin jadi perhatian netizen, rupanya ini sebabnya

Â