Baru perasan ada Michelle Yeoh di Olimpik Paris, rupanya diberi penghormatan kalungkan pingat
Siapa sangka bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 62, diberi penghormatan mengalungkan pingat kepada pemenang bagi acara terjun tiga meter papan anjal di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Perkara itu hanya disedari ramai selepas Michelle memuat naik gambarnya di Instagram sedang mengalungkan pingat kepada tiga atlet di atas podium.
Michelle berkata, peluang yang diberikan itu adalah pengalaman pertamanya menyampaikan pingat kepada pemenang Sukan Olimpik.
Dia juga mengucapkan tahniah kepada pemenang dan berpendapat mereka memang selayaknya memenangi acara berkenaan.
“Penyampaian pingat Olimpik pertama kepada salah satu acara sukan kegemaran saya. Hebat!
“Tahniah kepada China dan Australia, anda memang layak untuk memenangi acara ini,” tulisnya.
Terdahulu, dalam acara terjun tiga meter papan anjal, penerjun China iaitu Chen Yiwen berjaya memenangi emas dengan jumlah mata 376.00 manakala, perak dan gangsa pula menjadi milik Australia, Maddison Keeney (343.10 mata) dan seorang lagi penerjun China, Chang Yani dengan 318.75 mata.
Sementara penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan saingan di kedudukan ke-12.
BACA JUGA Asyik tanya je beras tempatan jual di mana, nah pemuda ini ada jawapannya