PM beri kata-kata semangat buat Azizulhasni
Wira berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang diberi kata-kata semangat selepas tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024.
Reaksi murni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menerusi hantaran dimuat naik dalam ruangan Facebook Story berlatarbelakangkan gambar The Pocket Rocketman itu.
“Kamu tetap dan selamanya permata negara, terima kasih,” kata Anwar disusuli deretan ucapan semangat rakyat Malaysia.
Azizulhasni, 36, tersingkir awal kerana memotong pacer dalam heat pertama pusingan awal acara keirin itu, sekali gus cubaan untuk meraih emas terkubur.
Beliau sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.
Susulan itu, nama anak jati Dungun, Terengganu berkenaan dilapor tiada dalam senarai pelumba ke pusingan ‘repechages’ walaupun pasukan berbasikal negara cuba membuat rayuan.
Ini bermakna kelibat pemenang pingat perak dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu tidak akan kelihatan.
Rata-rata pengguna media sosial di platform X turut mengucapkan kata-kata semangat dan penghargaan buat Azizulhasni yang pernah meraih gelaran dunia di Kejohanan Dunia di Hong Kong 2017.
“Terima kasih Azizulhasni Awang atas segala usaha anda untuk Malaysia dari lubuk hati kami. Kami masih sangat bangga dengan anda,” ucap @hweng19.
“PMX pun bagi sokongan, see the level (lihat tahap itu). Datuk tidak perlu buktikan apa-apa dah,” tulis @atiiq_azman.
“Terima kasih untuk perjalanan karier yang hebat Datuk @AzizulAWANG. Semangat yang luar biasa harus dijadikan contoh atlet lain,” kata @fatheema pula.
BACA JUGA Kejutan M Nasir di konsert, hadiah pulut kuning buat PM
Â