Ratusan mayat berkecai waktu Subuh, Malaysia seru warga dunia usah berpeluk tubuh
Malaysia menyifatkan masyarakat dunia amat tidak berperikemanusiaan untuk hanya berpeluk tubuh ketika tentera kependudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini terus menyeru sekutu-sekutu Israel agar memaksa rejim Zionis itu segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Menurut Kementerian Luar, seruan itu termasuk menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid diteruskan.
Jelasnya, tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal serta memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin.
“Rejim Zionis perlu dibawa ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan.
“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai lalu.
“Masa untuk bertindak adalah sekarang,” tegas Wisma Putra dalam kenyataan itu.
Suara Malaysia itu susulan tindakan jahat Israel mengebom sekolah agama Al-Tabieen di Bandar Gaza semalam ketika mangsa yang berlindung sedang menunaikan solat Subuh mengakibatkan sebahagian besar mayat berkecai menjadi cebisan.
Ramai kanak-kanak dan wanita syahid dalam serangan tunggal terbesar dalam kempen genosid Israel yang telah berlarutan lebih 10 bulan antara Israel.
Mangsa yang yang cedera parah juga dilapor mungkin kehilangan nyawa lantaran kekurangan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.
Sehubungan itu, Wisma Putra menegaskan, serangan yang disengajakan terhadap sekolah yang dijadikan tempat perlindungan oleh rakyat Palestin sebagai jenayah kemanusiaan selain merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia.
“Rejim Israel sekali lagi jelas menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian,” kata Wisma Putra lagi.
BACA JUGA Memburu pingat emas Olimpik, harapan terakhir negara petang ini