Yang bawa motor ni problem hingga Azizulhasni tersingkir
Sedutan video semasa aksi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada pusingan pertama keirin di Olimpik Paris awal pagi tadi menjadi bukti bagaimana bermasalahnya derny atau pacer.
Peminat sukan tanah air juga dilihat meluahkan rasa tidak puas hati mereka ekoran Tindakan juri yang membatalkan penyertaan Azizulhasni untuk berlumba dalam final.
Antaranya, pengguna TikTok, skibidipeople_ yang mengulas detik demi detik ‘problem’ pacer semasa berlangsungnya acara tersebut.
Lelaki yang menunggang motor itu dilihat tidak memecut keluar di lap terakhir seperti kelazimannya selepas melepasi selekoh empat pada kelajuan 50-55 kilometer sejam.
Hal itulah juga dibangkitkan Azizulhasni dalam penjelasannya menerusi hantaran pertamanya di media sosial selepas disingkirkan dalam acara berkenaan.
“Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi, pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.
“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk brek akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan,” katanya.
Menurut pemenang pingat perak dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 itu, mengikut peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu line halus di tengah front stretch.
“Adakah tayar belakang saya memotong pacer sebelum pacer keluar?
“Jawapan saya adalah ya, akan tetapi ia adalah tidak disengajakan dan juga adalah disebabkan oleh dua keadaan.
“Pertama blocking dan himpitan berterusan daripada pelumba Perancis dan kedua, adalah kerana pacer bergerak pada kelajuan hanya 40-45kmh dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan,” jelas Azizulhasni lagi.
BACA JUGA Memburu pingat emas Olimpik, harapan terakhir negara petang ini