Ahli bebas beri pandangan, pemimpin nasional putuskan pemilihan calon DUN Mahkota

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya bagaimanapun tidak menghalang ahli memberi pandangan berhubung calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, keputusan meletakkan calon di kerusi tersebut akan diputuskan pemimpin parti di peringkat nasional.

“Itu pandangan bukan keputusan. Ahli kita bebas memberikan pandangan.

“Bagaimanapun, keputusan akan dibuat pemimpin di peringkat nasional,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita pada program Libat Urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama pemimpin Pertubuhan Peladang Kawasan Gua Musang hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua AMANAH Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berhubung hasrat meletakkan calon di DUN Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan nanti.

Sebelum ini, Mohd Zuhan berkata, pihaknya bersedia untuk bertanding dan sudah menyenaraikan calon bersesuaian untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan negeri dan pusat.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia, 2 Ogos lalu.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dengan majoriti 5,166 undi.

Sementara itu, calon PH, Taqiuddin Cheman memperoleh 11,445 undi; Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan Mohamed Noor Suleiman dari Warisan mendapat 555 undi.

BACA JUGA Bangunkan semula ekonomi Palestin, ini usaha Malaysia

Â