Dusuki anggap puak sekular sekat dakwah, tauliah Ustaz Muhaizad tak disambung apa cerita

Menggelupur bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd. Rani apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar yang diberikan kepada beberapa pendakwah.

Berkongsikan edaran surat MAIS bertarikh 6 Ogos yang tular di media sosial, Dusuki menganggap puak-puak sekular dan liberal berpakat untuk menyekat dakwah Islam.

Sehubungan itu, pengasas Yayasan An Nabawi itu menggesa agar berhentilah berselindung di sebalik menggunakan agensi agama untuk melaga-lagakan ummah ini.

“… kononnya diarahkan oleh orang atasan! Atas nama dilarang berpolitik, sedangkan mereka tak mengapa pula menggunakan kuasa politik?

“Menyekat ummat Islam berpolitik, membiarkan sekular dan liberal berpolitik?” soalnya yang pernah menjadi calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik.

Karya aktivis terkenal, Fahmi Reza tahun lalu yang menyindir Dusuki ekoran fitnah berkaitan isu aset Tabung Haji (TH).

Bermula 24 Julai lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah MAIS telah memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajar terhadap lima orang pemegang tauliah MAIS.

Susulan itu, kesemua masjid dan surau daerah di Selangor tidak dibenarkan mengundang lagi kelima-lima mereka terbabit untuk mengajar.

Mereka adalah Mohd. Shahabudin Md. Yatim, Mohd. Udzair Mohamad Zaid, Don Daniyal Don Biyajid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd. Norhisyham Tuan Padang.

Mengulas lanjut, Dusuki yang juga anak saudara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat dakwalah penceramah terbabit di mahkamah.

“Dakwalah mereka di mahkamah, bukan menjadi alat kepada pihak sekular dan liberal memecahkan ummat Islam!” ulangnya lagi menerusi kenyataan di Facebook miliknya.

Namun, sangka buruk Dusuki yang mengaitkan penarikan tauliah mengajar dengan puak sekular dan liberal ditepis orang ramai.

Hujah paling bertemu ruas dengan buku ialah apabila ada yang mengingatkan kembali keputusan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) tidak menyambung tauliah kebenaran mengajar agama Ustaz Muhaizad atau nama sebenarnya, Muhaizad Mohamed.

“Tauliah Ustaz Muhaizad tidak disambung di Kelantan macam mana pula tu? Adakah kerajaan Kelantan liberal juga?” tempelak pengguna Facebook, Ct Fatimah.

Tahun lalu, Ustaz Muhaizad yang dikenali sering memberi kenyataan atau pun “pendapat yang tidak sealiran dengan Pas” tidak disambung tauliah kebenaran mengajar agama oleh pihak MAIK.

 Edaran surat MAIS yang tular di media sosial yang menjadi rujukan Dusuki.

BACA JUGA Tak sangka suspek bunuh cikgu rupanya kenalan sama belajar di universiti