Rafizi ajak berdebat, Wan Fayhsal pula cabar dua lawan satu

Terhibur warga maya hari ini apabila Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan sedia berdebat dua lawan satu.

Pemimpin muda Perikatan Nasional (PN) itu secara tiba-tiba memetik nama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Walhal, pada 9 Ogos lalu, Rafizi yang mempelawa Wan Fayhsal untuk berdebat mengenai ‘bagaimana merancakkan ekonomi dengan mencetak wang’.

Namun, hari ini Wan Fayhsal menegaskan dia masih menunggu jawapan dari cabarannya untuk berdebat dengan Rafizi dan Fahmi.

“2 lawan 1 tiada masalah! Lepas selesai debat MAHB-GIP-BlackRock, saya sedia debat satu lawan satu dengan Rafizi isu dasar monetari, fractional reserve banking, petrodollar, helicopter money etc.

“Itu pun kalau kamu masih lagi sebagai Menteri Ekonomi lepas rombakan Kabinet ni!” kata Wan Fayhsal menerusi ciapan di akaun X jam 11.37 pagi tadi.

Telatah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu kemudian menuai cemuhan dan sindiran orang ramai termasuk mengingatkan tentang masa depan politiknya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Malah, Wan Fayhsal juga dituntut supaya berdebat dengan pegawai di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikaitkannya dengan keputusan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Antaranya, pengguna akaun X, Abdul Aziz Abdullah yang berpendapat Rafizi akan terus berada dalam Kabinet.

“Fikirkan, di mana kau (Wan Fayhsal) selepas ini atau selepas PRU16 nanti.

“Nak debat MAHB-GIP, kau kena berdebat dulu pegawai KWSP yang kau fitnah di Parlimen sebelum ini. Perlu berlaku adil pada mangsa. Itulah level kau,” tegasnya.

Tidak kurang juga yang menyifatkan Wan Fayhsal seperti bertindak mengalih tiang gol memandangkan Rafizi mulanya ajak berdebat mengenai cadangan ‘bernas’ mencetak wang bagi merancakkan ekonomi.

Bahkan, ada yang menganggap Rafizi tidak ada masalah berdebat dengan Wan Fayhsal tetapi biarlah berdasarkan fakta yang betul bukannya guna surat layang.

“Orang ajak (berdebat), dia (Wan Fayhsal) tak terima. Lepas tu, dia pula ajak harap orang terima.

“Orang ajak debat pasal cetak wang, dia pergi kalih isu MAHB.

“10 geng engkau (Wan Fayhsal) dan Rafizi Ramli saja dah cukup. Jangan kata 10, seluruh MP pembangkang pun Rafizi tak gentar. Hanya hujah tu biar fakta jangan fitnah atau surat layang.

“Kena nampak berani dulu di media sosial sebelum kena kitai kaw kaw,” demikian antara komentar netizen.

BACA JUGA Tak sangka suspek bunuh cikgu rupanya kenalan sama belajar di universiti

Â