Rombakan Kabinet: Jangan percaya – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak desas-desus kononnya Kerajaan Perpaduan akan melakukan rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak mendengar sama sekali berhubung perancangan rombakan Kabinet seperti dilaporkan portal berita, FMT pagi ini.

“Saya baharu diberitahu, tidak dengar lagi siapa yang hendak tolong reshuffle (rombak)…saya tidak dengar.

“Dari mana dengar… jangan percaya dong,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dakwaan seorang menteri besar akan dilantik dalam Kabinet mungkin direalisasikan selepas pilihan raya umum (PRU).

FMT hari ini memetik dua sumber berhubung rombakan Jemaah Menteri yang dikatakan bakal berlaku.

Lapor portal berita itu, satu “sumber berpengaruh PKR” berkata bahawa seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Jemaah Menteri.

Sumber dari DAP pula mengesahkan wujud perbincangan mengenai rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos depan.

Beberapa timbalan menteri juga dikatakan akan dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.

Kali terakhir rombakan Jemaah Menteri dibuat pada Disember tahun lalu yang menyaksikan pertambahan daripada 29 kepada 31 menteri.

Beberapa menteri bertukar portfolio selain V Sivakumar dari DAP digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia.

Dalam masa sama, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari AMANAH kembali sebagai Menteri Kesihatan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

BACA JUGA Seorang menteri mungkin digugurkan, ura-ura rombakan Kabinet bertiup kembali

Â