Terkejut lihat lebai pakai kopiah buang sampah, elok sangat menteri bertegas

Pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] bagi kesalahan membuang sampah elok sangat dilaksanakan agar tindakan lebih tegas dan memberi pengajaran dapat dikenakan ke atas pelaku.

Seorang pengguna akaun X, @Iman_n_h berkongsikan pengalamannya ternampak seorang lelaki selamba membuang sampah ke Sungai Klang.

Sudahlah ditegur dengan membunyikan agak panjang hon, individu tidak bertanggungjawab itu sebaliknya menjerkahnya pula.

Tidak hairanlah terdapat sebanyak 86,021 tan metrik sampah terapung yang bersamaan berat 470 pesawat Boeing 747, dikeluarkan dari Sungai Klang sejak operasi pembersihan dilaksanakan pada 2016.

“Semalam di jambatan Sungai Klang Taman Sri Muda, ada lebai pakai kopiah buang sampah sekali dengan besen warna biru. Naik 4WD putih.

“Rugi aku takda dashcam. Aku hon panjang gila. Lepas tu dia jerkah aku balik, ya.

“Aku ingat tayar pancit ke apa, berhenti tepi jalan,” ceritanya mengulas ketegasan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkenaan individu yang membuang sampah di merata tempat.

Kelmarin, Kor Ming berkata, undang-undang sedia ada sebelum ini, antaranya mengenakan kompaun sehingga RM1,000 sudah tidak memberi kesan dan kesedaran kepada masyarakat.

“Kita sekarang tidak bercadang untuk naikkan lagi kadar kompaun kerana jumlah sedia ada itu pun orang sudah tidak kisah.

“Jadi, cadangan pindaan akta ini perkara yang perlu kita kaji semula.

“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) menerusi pegawai undang-undang sedang dalam kajian akan perkara ini untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) lakukan pindaan akta,” katanya kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Daerah Kampar.

Kor Ming berkata, antara yang dicadangkan dalam pindaan itu adalah dengan mengenakan hukuman tambahan khidmat masyarakat kepada pelaku.

Menurutnya, pendekatan itu merupakan satu bentuk pendidikan berkesan dan telah dipraktikkan di beberapa negara maju untuk membina rasa kesedaran dan pengajaran.

“Saya lihat di beberapa negara maju, apabila ada kesalahan seperti ini, mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat dengan menyapu dan mengutip sampah di bawah matahari terik.

“Saya percaya jika kita dapat laksanakan, selepas beberapa kes nanti, tidak ada lagi yang berani untuk teruskan tabiat membuang sampah.

“Negara sekarang sudah pun merdeka 67 tahun, sikap ulat-ulat sampah yang suka buang sampah merata tempat seperti yang berlaku sekarang perlu dihentikan, cukuplah,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Selepas setahun spekulasi bertiup, akhirnya Nora dicerai menerusi rakaman video

Â