Kenapa peniaga kedai makan paling untung setiap kali PRK? Ini logiknya

Musim pilihan raya boleh dikatakan waktu yang paling dinantikan golongan peniaga kerana ia memberi limpahan rezeki berkali ganda kepada mereka.

Pada waktu itu, jumlah kehadiran orang luar akan bertambah lebih tinggi disebabkan ahli-ahli politik dan jentera parti datang berkempen untuk calon bertanding.

Maka waktu itulah peniaga boleh tersenyum apabila pendapatan bertambah dua hingga tiga kali ganda sehari berbanding sebelum ini.

Seperti seorang peniaga roti canai, Kamaruddin Wok, 54, PRK DUN Nenggiri memberi rezeki tidak terjangka buatnya apabila 300 keping roti canai boleh terjual dalam masa sehari berbanding hari biasa sekitar 80 keping sahaja.

Malah, sambutan terhadap kedai makannya juga begitu meriah seawal jam 7 pagi sehingga malam.

“Alhamdulillah kami sangat gembira dengan situasi ini. Bayangkan jika sebelum ini jualan roti canai sekitar 60 hingga 80 keping saja namun sejak hari penamaan calon, jualan terus bertambah sehingga lebih 300 keping sehari.

“Itu pun masih tidak mencukupi namun saya hanya mampu menyediakan setakat ini saja. Bukan kedai saya saja, kedai makan yang lain di kampung ini semua laris.

“Kebanyakan yang datang bukan penduduk kampung sebaliknya orang luar dan jentera parti. Sudah lama kami sebagai peniaga tidak merasai suasana seperti ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Selain itu, seorang lagi peniaga kedai makan di Kampung Jeram Tekoh yang mahu dikenali sebagai Ibrahim,  turut menyifatkan perkara sama dan suasana di kedai makannya seperti ada kenduri setiap hari.

Lebih menggembirakan, pendapatannya meningkat tiga kali ganda.

“Alhamdulillah walaupun penat namun hasilnya berbaloi. Dari pagi hingga ke malam keadaan di kedai begitu meriah dan rata-rata yang datang bercakap berkaitan PRK Nenggiri.

“Keadaan PRK jauh lebih meriah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kerana ramai orang luar yang datang. Pendapatan juga meningkat tiga kali ganda.

“Jika sebelum ini saya tidak berniaga pada Jumaat dan Sabtu, namun sepanjang tempoh berkempen, saya berniaga setiap hari,” katanya lagi seperti dilapor.

BACA JUGA Selepas setahun spekulasi bertiup, akhirnya Nora dicerai menerusi rakaman video