Ramai tak percaya boleh raih RM5,000 sebulan, ini dia cerita peserta IPR
Berbekalkan disiplin dan usaha keras ingin mengubah kehidupan, peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Inisiatif Usahawan Tani (Intan) kini mampu meraih lebih RM5,000 sebulan dari hasil menanam cili.
Tanaman cili dengan kaedah fertigasi itu diusahakan di tanah keluasan 10 hektar di Putrajaya yang merupakan inisiatif Kementerian Ekonomi.
Menurut salah seorang peserta, Mohd Sadi Abd Rahman, 45 atau lebih dikenali sebagai Jo, dia dahulu bekerja sebagai kru acara dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,500.
Namun selepas menyertai IPR dan mengusahakan tanaman cili, dia tidak menyangka pada musim pertama boleh meraih lebih RM30,000.
“Bertani dekat bandar. Mana pernah dengar bertani dekat bandar kan? Selalu dekat kampung je. Alhamdulillah, (projek) yang pertama bertani dekat bandar.
“Alhamdulillah saya sekarang dah masuk musim kedua. Musim pertama saya sertai IPR, pendapatan saya melebihi RM30,000 semusim,” katanya dalam satu video dimuat naik Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Bagi seorang lagi peserta dikenali sebagai Mokhtar, dia akui kini mampu meraih pendapatan lumayan berbanding dahulu ketika kadar gaji hariannya sekitar RM30 dengan mengutip kotak-kotak terpakai.
“Dulu sebelum saya sertai IPR, gaji harian saya dalam RM20 hingga RM30. Saya hanya kutip kotak di tepi-tepi tong sampah.
“Pada musim yang lepas (selepas sertai IPR), saya dapat RM27,000. Alhamdulillah,” ucapnya.
Untuk rekod, hasil tanaman cili ini akan dibeli oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dan PPK Kuala Langat untuk dijual kepada Nestle dan pasar raya seperti Giant.
BACA JUGA Tergelak besar rombongan MB Pas jumpa Duta Malaysia ke Perancis
Â