Didakwa bakal dilantik Menteri Ekonomi gantikan Rafizi, apa kata Aminuddin?
Tiada angin tiada ribut tiba-tiba nama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Ekonomi.
Khabar angin tersebar itu susulan dakwaan bakal berlaku rombakan Kabinet besar-besaran dalam pentadbiran Anwar.
Melihat kepada prestasi ekonomi yang semakin membaik, Aminuddin hanya menganggap khabar tersebar itu sebagai gurauan nakal sahaja.
Naib Presiden PKR itu berkata, dia sehingga kini tidak dipanggil Perdana Menteri, malah menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat menganggotai Kabinet.
“Buat masa ini saya tak berhasrat nak ke Kabinet dan saya tak dengar apa-apa berita dan tidak dipanggil oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pun.
“Biasalah bila dah lama tak dengar cerita politik, jadi dia buat cerita politik dan saya yakin itu hanya gurauan senda, ini semua berita nakal,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pada masa sama, beliau percaya prestasi ekonomi dan barisan menteri dalam level yang terbaik dan menunjukkan banyak peningkatan membanggakan.
Justeru beliau yakin kedudukan yang disandang menteri-menteri ketika ini tidak akan diganggu gugat.
BACA JUGA Penduduk flat dikecam, selamba bina rumah tiga tingkat siap ada balkoni