Ahli ekonomi yakin KDNK berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024
Ekonomi Malaysia diyakini akan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini, menurut kalangan ahli ekonomi.
Mereka berpendapat pertumbuhan KDNK akan dirangsang oleh aktiviti perindustrian yang rancak, harga minyak sawit mentah lebih tinggi, pengangguran yang berkurangan dan peningkatan perbelanjaan.
Lapor Bernama, ahli ekonomi bersetuju ekonomi berada dalam kedudukan baik untuk berkembang antara 4.0 dan 5.0 peratus bagi keseluruhan 2024, dengan badan perakaunan memaklumkan, keyakinan global terhadap Malaysia meningkat dengan ketara berikutan telah mempamerkan daya tahan ekonomi yang jelas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 akan sejajar dengan unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.8 peratus.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata momentum pertumbuhan ekonomi akan berterusan sehingga suku kedua 2024, mengatasi pertumbuhan suku pertama 2024 sebanyak 4.2 peratus.
Mohd Afzanizam berkata data semasa menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang baik pada Jun.
Beliau menekankan bahawa negara mencatat pertumbuhan lebih tinggi dalam indeks volum perkhidmatan dan indeks pengeluaran perindustrian, masing-masing meningkat 6.7 peratus dan 4.5 peratus, pada suku kedua 2024.
Beliau berkata pengeluaran minyak sawit mentah naik dua angka kepada 15.9 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, menunjukkan peningkatan pendapatan eksport daripada sumber pendapatan komoditi bukan minyak utama negara.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus untuk tiga suku berturut-turut, tetapi jumlah pengangguran susut kepada 557,800 pada suku kedua 2024 daripada 561,100 pada suku pertama 2024.
“Sehubungan itu, pasaran pekerjaan Malaysia mungkin telah mencapai status pekerjaan penuh, menandakan terdapat banyak pekerjaan boleh diisi dan lebih ramai rakyat mempunyai pekerjaan dan meraih pendapatan.
“Pengenalan akaun pengeluaran fleksibel oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, di samping program pemindahan tunai, akan memungkinkan trajektori pertumbuhan yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.
“Sehubungan itu, KDNK suku kedua 2024 sewajarnya lebih tinggi berbanding suku sebelumnya,” kata beliau seperti dilapor.
BACA JUGA Penyewa dari lubang neraka, pemilik terkejut rumah penuh timbunan sampah