Ibu Sanusi meninggal dunia

Ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Meriam Ahmad, 74, disahkan meninggal pada jam 9.20 pagi tadi.

Berita pemergiannya disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim melalui pesanan WhatsApp kepada pemberita.

“Al-Fatihah. Bonda Menteri Besar Kedah, Meriam Ahmad, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9.40 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan di doakan semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Urusan pengebumian dan solat jenazah dilakukan di Masjid Kampung Sungai Pau, Sik, selepas solat Asar petang ini.

Sebelum ini, media melaporkan Allahyarhamah menerima rawatan di HSB sejak Isnin lalu.

Meriam ditidurkan pada hari yang sama dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya, di Sik.