“Setiap kali ribut, AMANAH terpaksa mencari tempat berteduh”

Mantan pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyifatkan partinya bagaikan orang yang terpaksa mencari tempat berteduh setiap kali berlakunya ribut.

Senario ini adalah benar bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Setiap kali ribut, AMANAH terpaksa mencari tempat berteduh. Kita lihat ribut itu masih ada di Sungai Bakap baru-baru ini,” kata beliau ketika ditemui oleh Harapan Daily di Gua Musang malam tadi.

“Ribut ini hanya akan reda selepas pilihan raya umum ke-16,” tambah beliau.

Ini kerana AMANAH akan berdepan pilihan raya umum di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang dijangka akan mengambil alih tampuk kepimpinan dari presiden sekarang, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Tambahan pula, Wan Abdul Rahim turut membayangkan perubahan kepimpinan AMANAH di ketiga-tiga negeri tersebut.

Beliau turut menyoroti sejarah politik Nenggiri yang bakal menyaksikan pilihan raya Nenggiri pada 17 Ogos.

“Pas hanya menang kawasan ini sekali dalam tahun 1959. Ketika itu ia dikenali sebagai Ulu Kelantan Barat.

“Selepas tahun 1959, ketika Umno kalah dalam pilihan raya umum 1990 dan 1995 pun, ia dimenangi oleh Semangat 46.

“Di dalam pilihan raya umum lalu dan pilihan raya negeri, DUN Paloh, Nenggiri dan Kawasan parlimen Gua Musang dimenangi oleh Bersatu.”

Nenggiri

Satu perkara menarik di dalam pilihan raya kecil Nenggiri ialah kawasan DUN tersebut tidak mewakili kawasan khusus.

DUN ini terletak di dalam kawasan Parlimen Gua Musang.

Perang bendera antara Pas dan BN juga tidak kelihatan dengan jelas.

Ketiadaan kawasan Nenggiri yang khusus dan keluasan DUN ini menyebabkan perang bendera Pas dan BN tidak begitu jelas.

Untuk rekod calon Bersatu bertanding di atas tiket Pas mewakili Perikatan Nasional.

Azmawi Fikri Abdul Ghani yang lebih mesra dikenali sebagai Awie mewakili BN manakala Rizwadi Ismail dari Bersatu mewakili Perikatan Nasional.

LIHAT JUGA: Penyewa dari lubang neraka, pemilik terkejut rumah penuh timbunan sampah