41 pesakit warga Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM
Dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketibaan pesawat pertama pada pukul 2 petang manakala pesawat kedua mendarat pada jam 2.15 petang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor menyambut ketibaan rakyat Palestin terbabit yang berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, di Kaherah, Mesir malam tadi.
Menurutnya, semua rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia seramai 127 orang, terdiri daripada 41 pesakit rakyat Palestin dan diiringi oleh 86 waris.
“Antara mereka adalah kanak-kanak, remaja dan dewasa yang mana sudah melalui proses dokumentasi menerusi Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Semua pesakit yang mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.
Semalam, Duta Mesir ke Malaysia Ragai Nasr memaklumkan seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir malam tadi.
Dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 4 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.
BACA JUGA Naik gaji pun ada penjawat awam ‘bising’, rupanya dia…