PRK Nenggiri: ‘Keluar mengundi, jangan terpengaruh hasutan’ – Tok Mat

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diminta tidak terpengaruh hasutan pihak tertentu agar tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK), esok.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, pengundi perlu menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat yang boleh menjalankan tugas dan mandat diberikan.

“Jadi, tidak timbul soal ada sesetengah pihak yang melarang orang lain daripada membuang undi. Kalau setengah negara ia menjadi satu kesalahan jenayah, negara kita belum lagi.

“Nasihat saya jalankanlah tanggungjawab pada negara untuk memilih wakil yang boleh diberikan tanggungjawab,” katanya semasa turun padang bertemu penduduk di Kampung Limau Kasturi hari ini.

Beliau berkata, PRK merupakan peluang pengundi untuk memilih wakil rakyat yang akan mewakili suara mereka di Nenggiri.

Mengenai calon BN, Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat yakin Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mampu menjalankan tugas jika diberi mandat sebagai wakil rakyat.

Jelasnya, Mohd Azmawi atau Awie sebelum ini telah bekerja di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri dan mampu memperjuangkan banyak isu.

“Insya-Allah, bila menang esok, beliau (Awie) tahu apa nak buat kerana sudah biasa dengan perkara itu sekali gus menjadi wakil rakyat yang efektif.

“Semasa Covid-19 lalu, Awielah individu yang banyak membantu penduduk di Nenggiri,” ujarnya lagi.

BACA JUGA 41 pesakit warga Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM