Dikecam bawa rakyat Palestin cedera ke Malaysia untuk rawatan, ini reaksi PM Anwar

Perdana Menteri kesal dan sedih dengan sikap sesetengah pihak yang mengecam langkah kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan merawat mereka terbabit adalah tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.

Lebih menyedihkan, ada yang meminta Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Palestin berikutan perhatian diberikan terhadap usaha menyediakan rawatan kepada rakyat negara itu yang cedera.

“Kezaliman Israel menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi (dan) wanita, malah baru-baru ini lelaki dipenjara, ada yang diperkosa, kemudian kita bawa balik… itu pun dicerca.

“Ada orang kata, Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.

“Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh. (Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu…

“Banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai hari ini.

Tidak cukup dengan itu, Anwar berkata, “pihak sebelah sana” juga langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ataupun menzahirkan tahniah kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya melabel kerajaan sebagai ejen Yahudi, ejen Amerika Syarikat dan ejen Israel.

Walaupun begitu, apa yang menghairankan Anwar adalah terdapat penjawat awam yang ‘terpukau’ dengan dakwaan melampau seperti itu yang disifatkan beliau sebagai pandangan buruk dan kusut yang dilemparkan sesuka hati.

“Saya harap bukalah minda kita sedikit. Ini negara pertama di Asia lakukan (beri rawatan kepada rakyat Palestin).

“Sebab apa kita jadi negara pertama di Asia lakukan, kerana barisan Jemaah Menteri, kerajaan negeri sepakat dalam Kerajaan Perpaduan untuk sama-sama jalankan tanggungjawab bersama,” katanya.

Dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Udara Subang di Selangor kira-kira jam 2 petang, semalam.

Kesemua pesakit terbabit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara itu bagi saringan kesihatan.

BACA JUGA Siti Kasim ‘mengamuk’ lagi isu tolong rakyat Palestin, ini nasihat netizen