Ini sebabnya kenaikan gaji diumum PM Anwar bukan hanya penjawat awam dapat manfaat
Pelarasan gaji yang menyaksikan kenaikan pendapatan penjawat awam turut memberi anjakan ekonomi secara khusus bukan hanya kepada kakitangan kerajaan semata-mata.
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Massila Kamalrudin berkata, kenaikan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, turut merangsang persekitaran ekonomi, komuniti dan nasional.
Menurutnya, pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi itu menjadi pemangkin semangat kepada penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Pelarasan yang akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember itu, katanya, menunjukkan keprihatinan kerajaan MADANI terhadap penjawat awam yang menjadi jentera kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Menerusi kenaikan ini juga tentunya menjadi suntikan motivasi kepada pelbagai peringkat dalam jabatan kerajaan termasuk universiti untuk terus berdaya maju dengan prestasi kerja secara menyeluruh.
“Apabila kakitangan awam bekerja dengan semangat tinggi maka ia dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti organisasi sekali gus memberi impak kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Massila memberitahu demi menyokong usaha kerajaan dalam agenda berkenaan, UTeM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah memulakan langkah dengan memperkenalkan inisiatif penetapan gaji premium untuk graduan TVET.
“Ini menandakan kemajuan yang positif dalam pelaksanaan dasar ini kerana UTeM turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini melalui formula strategik TVET Place & Train UTeM@KPT,” tambahnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember nanti.
“Fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026 dan kita melaksanakannya secara berfasa kerana kekangan dan mahu mengelakkan inflasi,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
BACA JUGA Siti Kasim ‘mengamuk’ lagi isu tolong rakyat Palestin, ini nasihat netizen