Asyraf dedah BN tak akan lakukan beberapa perkara ini pada PRK Mahkota
Barisan Nasional (BN) akan menggunakan beberapa pendekatan bagi mendekati pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat strategi kempen yang ternyata berkesan berbanding mengadakan ceramah mega.
”Fokus kita untuk Mahkota adalah mendekati setiap pengundi, tidak lakukan ceramah umum dan ceramah mega.
”Strategi kita adalah mendekatkan diri dengan pengundi, tidak kira putih atau hitam, setiap pintu kita ketuk.
”Apa yang menariknya di Nenggiri kita adakan program dihadiri 30 hingga 40 orang di rumah pengundi Pas, mereka panggil keluarga mereka sendiri,” katanya lapor FMT.
Menurut Asyraf lagi, PRK Mahkota nanti bakal menyaksikan keterlibatan seluruh anggota jentera kerajaan Perpaduan disebabkan demografi pengundinya yang bercampur antara pelbagai kaum dan menunjukkan sifat KeMalaysiaan.
Semalam Pakatan Harapan (PH) mengumumkan gabungan parti kerajaan itu bersetuju memberi ruang kepada BN untuk bertanding pada PRK Mahkota, Johor.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan tersebut dicapai selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
Pada PRN Johor 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon AMANAH yang mewakili PH, PN dan Warisan.
BACA JUGA Menang di Nenggiri bukti rakyat Kelantan terima gabungan Perpaduan – PM