Gaji penjawat awam naik, trend guru bersara awal dijangka dapat dikurangkan

Trend guru bersara awal pada masa kini dijangka dapat dikurangkan susulan pelarasan gaji kepada semua penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata, pengumuman kenaikan gaji  merupakan satu hadiah bermakna yang sangat besar buat para guru dan memberi kelegaan kepada mereka.

Menurutnya, para guru bukan sahaja menikmati kenaikan gaji tahunan (KGT), tetapi selepas ini akan menikmati tambahan kenaikan gaji.

“Selepas 12 tahun tanpa semakan, pelaksanaan SSPA bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) adalah satu hadiah yang sangat bermakna buat para guru.

“Saya percaya langkah ini juga dapat mengurangkan trend guru bersara awal, dan mendorong para guru memberikan perkhidmatan terbaik sebagai tanda penghargaan atas apa yang telah diberikan kerajaan,“ katanya seperti dilapor Bernama.

Aminuddin berkata pelarasan yang akan dibuat secara berfasa ini sememangnya memberi kelegaan kepada para guru yang turut mendepani cabaran kos sara hidup dan dalam mendidik anak bangsa.

“Ini memang memberikan kelegaan kepada para guru…Pelaksanaan secara berfasa ini adalah pendekatan yang wajar oleh kerajaan, dan tempoh untuk menikmati kenaikan gaji tersebut tidak terlalu lama.

“lami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman ini, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15 peratus bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional, serta tujuh peratus bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT),” katanya lagi.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai KPT.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

BACA JUGA Pening kepala, netizen Indonesia ‘claim’ pula persembahan LIMA milik mereka