Menang di Nenggiri bukti rakyat Kelantan terima gabungan Perpaduan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam adalah bukti rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang dibina dalam gabungan Perpaduan.

Katanya, kemenangan itu juga merupakan penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan Madani, selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang kian mekar sejak akhir-akhir ini.

”Alhamdulillah, tahniah saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Nenggiri semalam.

”Insya-Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan Madani tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi.

Pada PRK semalam, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi tradisinya itu di Kelantan, selepas calonnya menang menewaskan calon PN, dalam saingan satu lawan satu.

Calon BN, Mohd Azmawi Fikri, 38, secara rasmi menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang yang mesra dengan panggilan Awie menang dengan majoriti 3,352 undi.

BACA JUGA Budok Awie dah mula bekerja, bertemu penduduk Nenggiri

Â