Tengku Hassanal murka, mahu polis ambil tindakan tegas kepada Mahiaddin
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh tugas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Titah Tengku Hassanal, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Mahiaddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” tegas Tengku Hassanal dalam satu kenyataan rasmi dimuat naik di Instagram Story.
Justeru Tengku Mahkota Pahang bertitah, agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional itu.
“Saya mahu pihak PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R,” titahnya.
Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
Menurutnya, baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan YAB Perdana Menteri semasa itu dibuat.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.
“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titahnya lagi.
BACA JUGA Kerana PN kalah, cikgu ajar Pendidikan Islam sanggup hina orang Asli