Poster papar tentera China cemar sambutan Bulan Kebangsaan
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat (BPPM) AMANAH memandang serius poster pertandingan buku skrap yang menggunakan gambar tiga anggota tentera China.
Pengerusinya, Azli Yusof berkata, penghasilan poster berkenaan bukan sekadar satu kesilapan tetapi satu tindakan mencemar sambutan Bulan Kebangsaan selain menghina sumbangan anggota keselamatan dan mempermainkan kedaulatan negara yang merdeka.
Beliau menyatakan kebimbangan sekiranya ada pihak mengambil kesempatan untuk menyuburkan sentimen perkauman, membangkitkan kegelisahan orang ramai dan menimbulkan keraguan terhadap keharmonian di bawah Kerajaan Madani.
“Justeru, BPPM bersetuju dengan langkah tegas yang diambil oleh KPM terhadap guru dan pihak yang terlibat menerbitkan poster pertandingan buku skrap tersebut.
“Hukuman yang sewajarnya mesti diambil agar ia benar-benar menjadi pengajaran kepada semua agar perkara seumpamanya tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan terhadap guru yang menghasilkan poster pertandingan buku skrap tersebut.
Sementara itu Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berharap agar institusi pendidikan terus diperkasa dan menjadi wadah tarbiah terpenting menanamkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan pelajar.
BACA JUGA Nenggiri: Yang kalah Bersatu, yang dapat malu Pas