‘Saya yang lahirkan awak..’, kata-kata ibu Syamsul Yusof jadi bualan selepas anaknya failkan cerai
Ungkapan kata-kata yang dikongsikan ibu Syamsul Yusof, 40, selepas pengarah terkenal itu memfailkan perceraian dengan isterinya Ira Kazar semalam menjadi bualan.
Kenyataan Datin Patimah Ismail menerusi Instagram itu menyebut, “saya yang lahirkan awak, saya cintakan awak dahulu, saya masih sayang awak, saya sentiasa ada dan terus ada”.
Hantaran yang dimuat naik oleh isteri Datuk Yusof Haslam itu didakwa melambangkan perasaannya sebagai seorang ibu.
Memetik Harian Metro, Patimah bersyukur dengan status rasmi terkini hubungan perkahwinan anaknya itu.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.
“Jika benar berita ini, saya amat bersyukur. Semoga Syamsul kembali ke jalan yang benar,” katanya.
Dalam masa sama, tambahnya,beliau telah memaafkan keluarga Ira atas apa yang berlaku itu.
“Namun, nasi sudah jadi bubur dan rumah-tangga Puteri Sarah Liyana dan Syamsul hancur, anak-anak jadi mangsa,” kata Patimah lagi.
Semalam, peguam syarie mewakili Syamsul Yusof, iaitu Azmi Mohd Rais mengesahkan anak guamnya memfailkan perceraian terhadap isteri, Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, kira-kira jam 2 petang.
Azmi berkata, Syamsul memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dengan isteri tanpa berkongsikan maklumat lanjut mengenai perkara itu.
Syamsul dan Ira atau nama sebenar, Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di selatan Thailand.
Susulan itu, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.
Kisah perkahwinan Syamsul dan Ira dan hubungan mereka dengan Patimah dan Yusof sudah lama menjadi tumpuan warganet terutamanya peminat dunia hiburan tanah air.
Antaranya, Syamsul dan Ira dikatakan tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga sejak 2022.
BACA JUGA Angkuh pertikai keputusan Agong, Raja Bahrin senaraikan ‘fakta’ Mahiaddin yang patut dikutuk