Chef Zam geram restoran jual ‘nasi lemak telanjang’, kena bayar lebih kalau nak sambal

Seorang chef selebriti Malaysia, Datuk Zamzani Abdul Wahab atau dikenali sebagai Chef Zam meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah kedai makan terkenal di Subang.

Ia selepas sepinggan nasi lemak bersama hidangan baharu dari gerai itu iaitu ayam rendang yang dipesannya, tidak setanding dengan harga yang dibayar.

Menurut Chef Zam, rendang ayam yang berharga RM4.90 hanyalah terdiri dari enam ketul isi ayam yang dipotong dadu.

“Saya beli set nasi lemak dengan dia punya promosi rendang ayam yang baharu. Saya tak makan seketul pun. Tengok berapa ketul ayamnya,” katanya jelas kecewa sambil menunjukkan pinggan dengan isi ayam yang tidak seberapa.

@chef.zam

Jangan cuba menipu duit customers!, boleh??? Kepal hangguk dia jual nasi lemak tak de sambal & kena tambah duit lain kalau nak sambal!!!🤬🤬🤬🤬 @Bungkus Kaw Kaw @KPDN SELANGOR @KPDN

♬ original sound – Chef.Zam – Chef.Zam

Lebih memeranjatkan, nasi lemak berharga RM5.90 yang dipesannya pula tidak didatangkan dengan sambal yang sepatutnya menjadi bahan utama pelengkap hidangan nasi lemak.

Kata Chef Zam, kedai itu akan mengenakan caj sekiranya mahu menambah sambal nasi lemak.

“Buka nasi lemak ni, dalam tak ada sambal. Dia jual RM5.90. Nak sambal, tambah lagi. Penipu je hidup,” katanya dalam satu video dimuat naik di TikTok miliknya.

Kata Chef Zam, keseluruhan makanan yang dipesannya termasuk teh ais, RM17.90.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ramai rupa-rupanya yang tidak berpuas hati dengan kedai makanan terkenal itu yang didakwa cekik darah dan tidak memberikan kualiti makanan yang setanding dengan harga.

Mereka juga menyokong tindakan Chef Zam menularkan perkara berkenaan supaya pihak kedai cakna dengan apa yang sudah mereka lakukan.

“Finally someone has spoken. Selepas ini dia orang dah boleh bungkus kaw kaw kasi tutup terus,” komen seorang pengikutnya.

“Memang sedap tapi harga dia kadang-kadang tak masuk akal,” kata yang lain pula.

“Memang mahal gila. Masa kerja dekat Pavilion Bukit Jalil, air milo panas pon dah RM9.90 tau. Mahal gila,” komen individu lain.

Video itu setakat ini sudah mendapat lebih 2.1 juta tontonan dengan hampir 100 ribu tanda suka.

BACA JUGA Anwar jumpa pemimpin, ulama Islam di India