Status ‘anak jantan’ Wan Ahmad Fayhsal dihujani kecaman
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal buat kesekian kalinya mengundang kecaman orang ramai berhubung penegasannya mengenai ‘anak jantan’.
Katanya menerusi platform X, pembangkang terbukti ‘anak jantan’ apabila membuktikan kepada pihak polis semua dokumen mengenai sokongan cukup anggota Parlimen.
Reaksi Wan Fayhsal itu susulan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin pada 21 Ogos lalu, menyerahkan beberapa dokumen termasuk dokumen mengandungi 115 SD Ahli Parlimen lantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada polis.
“Terbukti kami anak jantan bukan pondan seperti yang dicabar oleh (Ahli Parlimen) Jelutong (RSN Rayer).
“Soalnya sekarang, apakah kamu cukup jantan dan berani sahut cabaran yang saya lontarkan? Bak datang! ” tulis Wan Fayhsal yang juga Ketua Pemuda Bersatu itu lagi.
Sebelum itu, RSN Rayer membidas Wan Fayhsal kerana menyalahkan media rasmi PKR, Suara Keadilan yang didakwa menyunting klip video ucapan Mahiaddin Yassin pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri lalu.
Rayer berkata, Wan Fayhsal sepatutnya menjadi anak jantan, berhenti menyalahkan orang lain dan memberitahu Mahiaddin untuk juga menjadi anak jantan dan berdepan pertuduhan di mahkamah jika betul ucapannya ialah fakta seperti didakwa.
Susulan kenyataan Wan Fayhsal mengenai ‘anak jantan’ itu, rata-rata komentar yang membanjiri hantaran di laman X akaun pemimpin muda Perikatan Nasional (PN) berkenaan bernada kecaman dan sindiran.
Ia termasuklah mempersoalkan tindakan Wan Fayhsal yang sebelum ini merupakan Ketua Bersatu Titiwangsa di Kuala Lumpur bertanding di Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 2022 lalu.
“Kau ni sembang je lebih. Kalau anak jantan, kenapa masa PRU kau bertanding di Kelantan, padahal kau bermastautin di Selangor,” tempelak @Reizki9.
“Kalau dah mengaku anak jantan, duduklah dalam kendang, diam-diam jangan meroyan,” nasihat @royston993.
“Anak jantan tak petik surat layang dalam Parlimen, petik sekali lagi dekat pentas luar,” cabar @lefthanded02 pula.
BACA JUGA ‘Ajak orang jihad tapi dia sendiri kerja bagi kuliah bersampul saja’