Tak sangka batuan tertua di Kuala Lumpur ada di Bukit Dinding, ini jaminan Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mewartakan kawasan Bukit Dinding, Wangsa Maju sebagai hutan simpanan kekal (HSK) susulan terdapatnya batuan tertua di Kuala Lumpur berusia sekitar 479 juta tahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, usaha untuk mewartakan kawasan dengan puncak setinggi 291 meter itu mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] untuk memastikan Bukit Dinding dikekalkan sebagai kawasan hijau selain berfungsi sebagai ‘green lung’ bagi kawasan sekitarnya.

“Kawasan Bukit Dinding yang diwartakan sebagai HSK kelak akan dikelaskan sebagai hutan terbuka untuk tujuan rekreasi dan lipur bagi memastikan aktiviti rekreasi yang dijalankan di kawasan tersebut pada masa ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat dan orang awam,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan Bukit Dinding merupakan batuan tertua di Kuala Lumpur yang terdiri daripada Syis Dinding melangkaui usia formasi batu kapur dan Syis Hawthornden.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mustafa Kamal Abdul Aziz mencadangkan supaya Bukit Dinding dijadikan geotapak sebagai usaha melestari khazanah ekologi keseluruhan yang masih ada di kawasan hijau itu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, berdasarkan peta geologi Semenanjung Malaysia yang diterbitkan Jabatan Mineral dan Geosains pada 2014, formasi Syis Dinding atau Syis Hawthornden bukan sahaja wujud di Bukit Dinding tetapi turut meliputi kawasan sekitar termasuk di Desa Tun Hussein Onn-Setiawangsa-Bukit Melawati-Ampang Jaya.

“Formasi ini terdiri daripada batuan jenis Syis kuarza-mika, syis berkarbon dan filit yang berusia Paleozoik Bawah (550-420 juta tahun).

“Singkapan batuan ini boleh ditemui di sekitar kawasan yang dinyatakan dan tidak hanya unik di Bukit Dinding.

“Kementerian menyambut baik cadangan untuk menjadikan Bukit Dinding sebagai geotapak, namun ia perlu mengambil kira faktor dan aspek teknikal serta saintifik yang mendukung terhadap cadangan itu.

“Selain menjadikan geotapak, pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk melindungi warisan geologi di sesuatu kawasan itu antaranya lokasi singkapan batuan terbaik yang telah dikenal pasti direkodkan sebagai lokasi rujukan dan pembelajaran,” lapor Bernama.

BACA JUGA Anwar jumpa pemimpin, ulama Islam di India